Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Adik sultan mati ditikam -- Disyaki dilakukan anak lelaki yang kemudian meninggal dunia

Written By JOM JALAN on 25/07/06 | Selasa, Julai 25, 2006

Almarhumah Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar
Oleh ARSHAD KHAN dan ALI MAHMOOD


KUANTAN 24 Julai – Adinda Sultan Pahang, Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar, 65, ditemui mati berlumuran darah dengan kesan tikaman dan tetakan senjata tajam disyaki dilakukan oleh anak lelakinya yang mengamuk di rumah mereka di Villa Ismaputri, Lorong Kubang Buaya 54, di sini hari ini.

Tengku Puteri Kamariah dipercayai ditikam beberapa kali oleh anaknya menggunakan pisau Rambo dan pemutar skru dalam kejadian pada pukul 1.20 tengah hari.

Pemuda berusia 21 tahun itu yang turut cedera parah dalam kejadian tersebut dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan meninggal dunia pukul 7.30 malam ketika dirawat.

Setakat ini punca kematian anak mangsa bagaimanapun belum dapat disahkan dan bedah siasat akan dilakukan esok.

Turut cedera dalam kejadian itu ialah suami mangsa, Datuk Tunku Ismail Tunku Sulaiman, 68, yang luka parah di bahagian perut dan hadapan badan sehingga terpaksa menjalani pembedahan di HTAA.

SULTAN Ahmad Shah yang ditemani anakandanya, Tengku Abdullah menatap jenazah adindanya, Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar yang meninggal dunia selepas disyaki ditikam oleh anak lelakinya dalam kejadian di rumah mangsa di Taman Kubang Buaya, Kuantan, Pahang semalam

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Razak Bukhari ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, Tengku Puteri Kamariah ditemui terbaring di bahagian dapur rumah oleh jirannya dan dia disahkan mati di tempat kejadian.

‘‘Polis masih menyiasat motif kejadian dan kita menemui dua senjata dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut iaitu pemutar skru dan sebilah pisau Rambo di rumah mangsa,’’ katanya.

Beberapa saksi yang ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa yang disifatkan oleh jirannya sebagai wanita yang peramah dan baik hati telah ditetak dengan pisau Rambo di bahagian belakang badan dan ditikam bertubi-tubi dengan pemutar skru.

Selain mangsa dan suaminya serta suspek, turut berada di tempat kejadian ialah orang gaji mereka, warganegara Indonesia yang hanya dikenali sebagai Elis.

Dalam pada itu, salah seorang saksi yang juga saudara serta jiran mangsa, Tengku Ahmad Faizal Tengku Abdul Jamil, 40, mendakwa, semasa kejadian, suspek dilihat terjun dari beranda tingkat atas rumah berkenaan dan meluru ke rumah jiran.

‘‘Suspek merayau-rayau di hadapan rumah dan meracau-racau mengatakan dia sedang ketakutan sebelum masuk kembali ke rumahnya,’’ ujar beliau.

Tengku Ahmad berkata, apabila suspek masuk semula ke rumah, tidak berapa lama selepas itu beliau mendengar jeritan meminta tolong dari mangsa dan suaminya.

‘‘Saya bergegas ke rumah Tengku Puteri dan mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah di bahagian dapur, saya meletakkan kepalanya di pangkuan saya dan dia sempat berpesan ‘belajarlah agama dan kalau nak jual kereta itu, juallah,” katanya sambil memberitahu beliau tidak faham maksud pesanan Allahyarham itu.

Menurut Tengku Ahmad, suami mangsa pula ditemui dalam keadaan ‘terduduk’ di atas sebuah kerusi di luar rumah dengan seluruh badannya berlumuran darah, manakala suspek kelihatan sedang dalam keadaan keliru.

Katanya, pada masa itu, seorang lagi saksi kejadian yang sedang berkerja sebagai tukang kebun di rumah jiran mangsa datang untuk memberi bantuan.

‘‘Kami berdua selepas itu menahan suspek dan mengikatnya sebelum polis tiba,” katanya.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Tengku Abdul I’lal Tengku Sulaiman ketika ditemui pula memberitahu, suspek adalah anak ketujuh dari lapan beradik dan mempunyai seorang saudara kembar.

‘‘Abang saya ada menghubungi kami pukul 10.50 pagi ini meminta mencarikan seorang bomoh bagi merawat anaknya,” kata beliau.

Tengku Abdul l’lal juga tidak menolak kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah yang berada di Cameron Highlands petang ini, tiba di kediaman adindanya di Villa Ismaputri, sebaik sahaja jenazah dibawa pulang dari HTAA kira-kira pukul 5.20 petang, manakala seorang lagi adinda mangsa, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, tiba pukul 6.30 petang.

Baginda yang berada dalam keadaan terkejut dan sugul kelihatan mengeluarkan sapu tangan dan mengesat air mata ketika melihat kawasan kejadian.

Turut melawat tempat kejadian ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Makam Diraja Pekan, esok [UM]